PRESS COP
Memori Silamku 03/11/2011
 
Picture
Tatkala mendengar lirik lagu yang dinyanyikan oleh Melly Goeslow, aku teringat kembali kisah sewaktu usiaku masih lagi muda remaja.

  

   Dalam hidup ini,

   Harungi semua cerita indahku,

   Saat-saat remaja yang terindah,

   Tak bisa berulang...

   Kuingin nikmati,

   Segala jalan yang ada di hadapku,

   Kan kutanam cintaku,

   Agar ku bahagia...

     Zaman remaja sememangnya datang hanya sekali dalam seumur hidup kita. Oleh sebab itu, aku tidak pernah mensia-siakan usia remajaku dengan menikmati saat-saat yang terindah dalam hidupku. Aku senantiasa memikirkan untuk bergembira sahaja tanpa memikirkan perasaan dan tindakanku terhadap orang lain. Disebabkan itu, aku teringat kembali kepada suatu peristiwa yang masih kuingat sehingga hari ini dan tidak mungkin akan kulupakan.

     Namaku Shahila atau digelar sebagai Sheila. Aku merupakan anak sulung dalam keluargaku. Aku mempunyai 2 orang adik lelaki yang bernama Syahme dan Syazrul serta seorang adik perempuan yang diberi nama Shahirah. Kami dibesarkan oleh kedua ibu bapa kami dengan kehidupan yang sederhana. Ayahku merupakan seorang pemandu lori bagi sebuah syarikat manakala ibuku pula adalah seorang surirumah tangga sepenuh masa. Ayah seringkali jarang untuk berada di rumah kerana terpaksa menghantar barang ke luar negeri. Oleh sebab itu, kami adik-beradik lebih rapat dengan ibu yang menjaga kami sepenuh masa semasa kami berada di rumah.

   Sewaktu aku menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah, aku merupakan seorang pelajar yang sangat pendiam dan pemalu. Barangkali aku bersikap demikian kerana keluargaku baru sahaja dipindahkan ke daerah lain atas sebab bapaku terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menyara kehidupan kami sekeluarga. Aku sememangnya begitu teruja apabila dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru, sekolah baru, guru baru dan suasana yang baru dalam kehidupanku. Namun begitu, aku seringkali dipinggirkan apabila guru memberi tugasan secara berkumpulan kerana aku bukanlah seorang pelajar yang sangat pintar. Aku selalu mengadu kepada ibuku mengenai hal itu tetapi ibuku menasihatiku supaya bersabar dengan apa yang berlaku. Oleh sebab itu, aku bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh agar aku dapat melanjutkan pelajaranku ke sekolah berasrama penuh pada satu hari nanti sekaligus dapat membuktikan kepada rakan-rakan yang pernah memulaukan diriku dan menunjukkan kepada mereka tentang kejayaanku.

     Akhirnya hajatku tercapai juga apabila aku memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR. Sememangnya aku merasakan usahaku amat berbaloi dengan pencapaian yang aku perolehi. Aku juga turut berasa gembira kerana dapat memberikan contoh yang baik kepada adik-adikku yang lain. Pada penghujung bulan Januari, aku telah mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh di salah sebuah daerah di Negeri Sembilan. Hatiku gembira dan aku sememangnya mengimpikannya. Alangkah seronoknya!

     Pandanganku terkesima apabila ayahku tidak membenarkan aku untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh kerana ayah tidak mampu untuk membiayai segala perbelanjaan untuk ke sekolah tersebut. Hatiku luluh dan hampa mendengar kata-kata ayah, dan air mataku menitis deras. Ibu juga turut merasakan apa yang dialami dan memahami perasaanku pada ketika itu. Sejak peristiwa itu, sikapku mula berubah. Aku masih ditempatkan di sekolah lama bersama adikku Syahme yang pada waktu itu beliau baru berada di tingkatan 2. Setiap hari, ayah akan menghantar kami menaiki lori yang dipandunya untuk dibawa bekerja. Kadangkala, aku rasa begitu malu terhadap rakan-rakanku. Mana tidaknya, rakan-rakanku yang lain semuanya datang menaiki kenderaan mewah dan paling tidakpun mereka akan menaiki bas sekolah. Ayahku tidak mampu untuk berbuat demikian. Perkara itu telah menyebabkan aku geram dan melemahkan semangatku untuk ke sekolah. Dulu, aku sememangnya tetap rasa gembira walaupun terpaksa menaiki lori buruk ayahku itu untuk ke sekolah demi untuk mencapai cita-citaku. Namun, semuanya hampa setelah aku menganggap impianku musnah untuk belajar di asrama.

     Aku menjadi semakin malas untuk masuk ke dalam kelas, selalu saja ponteng kelas, tidak menyiapkan kerja-kerja sekolah dan sebagainya. Kadangkala aku rasa malas lagi untuk belajar sedangkan perjalanan kehidupanku masih lagi jauh. Aku tidak boleh menerima hakikat dan kenyataan. Aku akan lakukan apa sahaja mengikut sesuka hatiku. Aku tidak lagi mempedulikan perasaan orang lain termasuklah kata-kata kedua ibu bapaku. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku lari keluar dari rumah, tetapi aku tidak sampai hati untuk melihat ibuku bersedih. Adik-adikku pula, Syahme, rajin ke sekolah dan belajar bersungguh-sungguh tidak seperti diriku manakala Syazrul pula seringkali mengusik kakak dan abangnya walaupun kami sedang melakukan sesuatu kerja. Syazrul agak nakal dan dia merupakan seorang yang sangat hiperaktif dalam perlakuannya. Oleh sebab itu, jika emosi dan perasaanku tidak stabil, aku akan bertindak memukul Syazrul sekuat hati sehingga boleh menyebabkan lebam dan luka. Shahirah pula merupakan seorang yang sangat manja. Ke mana saja aku pergi, mesti dia ingin mengekori. Kalau dibiarkan, dia akan mengadu kepada ayahku dan menangis teresak-esak. Perangai mereka semua menyebabkan aku rasa semakin geram dan benci pada mereka.

     Aku tahu aku bersalah. Mungkin aku tidak pernah bersyukur dengan apa yang aku ada dan yang telah diperolehi. Aku mengabaikan tanggungjawabku kepada ibu dan ayah untuk belajar bersungguh-sungguh dan tidak mencuba untuk mengubah nasib kehidupan kami sekeluarga. Benar kata orang, kita tidak tahu menghargai seseorang insan itu semasa hidup tetapi akan merasa kehilangannya apabila seseorang itu telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Pada suatu pagi, ayah telah menghantar kami adik-beradik ke sekolah seperti biasa. Setelah selesai menghantar Syazrul dan Shahirah ke sekolah rendah, ayah terus menghantar aku dan Syahme ke sekolah menengah yang berdekatan. Pagi itu, aku merasakan keadaan yang suram dan sayu. Aku melihat sekilas wajah ayahku selepas bersalaman dan ingin keluar dari lori tersebut. Suatu keanehan telah berlaku. Ayah memanggilku dan menahan diriku daripada keluar dari lori tersebut. Aku melihat ayah sambil memandang dengan pandangan yang sinis. Namun begitu, ayah tetap berkata,˝Sheila, kalau ayah tak pulang lepas ni, jaga ibu dan adik baik-baik ye... ayah risau tengok keadaan kamu sekarang ni. Kamu tak puas hati dengan ayah kan? Sejak ayah tak benarkan kamu masuk ke sekolah asrama tu? Sebenarnya, ayah bukan tak bagi sebab tak bersebab. Ayah nak kamu jaga keluarga kita dengan baik. Ayah tak nak kamu yang susah di kemudian hari. Lagipun, kejayaan itu boleh kita perolehi kalau kita inginkannya dan tak mengira usia. Ayah pasti anak ayah ni boleh kan? Janjilah dengan ayah yang Sheila tak akan bersikap dingin macam ni lagi. Ayah perasan...kamu tak suka. Tapi ayah lakukan semua ni demi Sheila dan keluarga. Ayah sayang sangat dengan Sheila. Takde siapa pun yang boleh gantikan kasih sayang seorang insan yang bergelar ayah ni terhadap Sheila. Ayah minta maaf kat anak ayah ni,ye? Ayah dah maafkan segala salah dan silap yang telah anak-anak ayah lakukan termasuklah ibu kamu juga.  Ayah doakan semoga anak-anak ayah akan jadi insan yang berguna suatu hari nanti. Sheila jangan hampakan harapan ayah ni tau!ˮ. Aku berlalu pergi tanpa memandang wajah ayahku.

     Setiap detik yang berlalu selepas itu aku rasa sangat marah tanpa memikirkan sejenak pun tentang kata-kata yang telah diungkapkan oleh ayah pada pagi tadi. Sungguh menghairankan kerana seharian aku berasa sesuatu yang tidak sedap hati akan berlaku. Aku hanya mengagak yang itu semua hanyalah mainan perasaan dan ilusi semata-mata. Tetapi, apabila aku dan Syahme menjejakkan kaki ke halaman rumah, kami lari bertempiaran apabila terlihat wajah-wajah yang suram menyelubungi kawasan sekitar rumah kami. Ya Allah! Ayah telah pergi selama-lamanya meninggalkan kami. Aku menjerit sekuat hatiku dan tiba-tiba aku disapa oleh seseorang. Aku membuka mata lalu memandang tepat ke arah seseorang yang amat bermakna dalam hidupku selama ini. Ibu... Sheila berjanji akan menjaga ibu dan adik-adik seperti yang pernah ayah amanatkan pada Sheila pada saat sebelum ayah pergi meninggalkan kita semua.

                                                                                                                                                      nurifra_K76

 


Comments


Your comment will be posted after it is approved.


Leave a Reply