PRESS COP
 
Picture
Happy Chinese New Year

          Masa merupakan pembunuh usia yang bertindak secara tanpa kita sedari. Dalam masa sekelip mata sahaja, Tahun Baru Cina semakin menghampiri. Tahun ini merupakan tahun pertama saya berjauhan dengan keluarga saya. Kini, tinggal beberapa hari sahaja sebelum Tahun Baru Cina menjelang tiba. Pada masa ini, hati saya berdebar-debar untuk pulang ke kampung halaman saya, Sungai Durin, Sibu, Sarawak.

      Biasanya, sebelum Tahun Baru Cina menjelang, biasanya di kawasan pekan yang saya tinggal, akan berlaku kesibukan untuk membuat persediaan menyambut Tahun Baru Cina. Antara aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan termasuklah gotong-royong untuk membersihkan kawasan sekitar rumah, membuat kuih-muih seperti kuih bakul, kek dan kuih sepit dan membeli-belah. Anak-anak kecil pula berasa gembira apabila terkenangkan angpau yang bakal diterima. Manakala untuk saudara-mara yang berjauhan dari kampung halaman, perasaan ingin pulang ke kampung untuk menyambut Tahun Baru Cina manjadi semakin kuat, sama seperti perasaan saya sekarang.

      Sebenarnya, perasaan saya ingin pulang ke kampung halaman bukan untuk menyambut Tahun Baru Cina. Hal ini demikian kerana ayah saya baru meninggal bulan Mei tahun lepas kerana menghidap kanser. Mengikut budaya kaum cina, sekiranya ada ahli keluarga yang meninggal, maka, ahli keluarga si mati perlu berkabung selama setahun. Maksudnya, sebarang sambutan perayaan tradisional dilarang atau tidak digalakkan. Tujuan utama saya balik ke kampung hanyalah untuk menatap wajah insan-insan yang tersayang.

      Selama perjalanan yang mengambil masa hampir dua hari, akhirnya, saya sampai di kampung halaman saya. Dengan membawa badan yang penuh keletihan, saya mengorak langkah saya masuk ke rumah saya. Kepulangan saya disambut mesra oleh ibu saya dan adik lelaki saya. Walaupun letih, tetapi keletihan ini berbaloi apabila melihat senyuman insan-insan yang tersayang.

      Semasa saya sampai di rumah, ibu saya sedang sibuk membuat persediaan untuk makan malam seisi keluarga saya. Rasa rindu terhadap ayah saya tiba-tiba meracau fikiran dan jiwa saya. Alangkah bagusnya sekiranya ayah masih hidup, dapatlah kami sekeluarga sambut Tahun Baru Cina bersama-sama. Perasaan dapat menemani ahli keluarga merupakan perkara yang paling bahagia dalam hidup saya.

      Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini amat berbeza sekali berbanding tahun-tahun yang lepas. Suasana dalam keluarga saya ternyata amat berbeza. Nampaknya, ketiadaan ayah saya masih menjadi tamparan dalam seisi keluarga saya. Walaubagaimanapun, hidup mesti diteruskan dan menghargailah masa yang ada untuk menemani insan yang tersayang.

      Pada pagi keesokan hari, merupakan hari pertama Raya Cina. Perasaan rindu terhadap ayah sekali membuat saya tersentak sebentar semasa bangun pada pagi tersebut. Mengikut tradisi orang cina, sebenarnya sepanjang malam sebelum Raya Pertama Cina, adalah digalakkan untuk menunggu pagi, kerana dipercayai datang mendatangkan kesejahteraan dan kekayaan pada tahun baru. Pada tepat pukul 12 tengah malam, bunyi mercun akan berdentum di tepi telinga. Lagi-lagi di kawasan pekan yang kecil seperti pekan saya, suasana menjadi lebih riuh-rendah.

      Pada Raya Pertama Cina merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh golongan kanak-kanak. Mereka berasa begitu teruja apabila memikirkan usia mereka meningkat setahun lagi selain angpau yang bakal diberi oleh orang dewasa. Pada pagi tersebut, semua anggota keluarga akan bangun awal dan membuat persediaan. Adalah menjadi tradisi untuk memakai baju, seluar ,dan kasut baru pada hari tersebut kerana simbolik dengan kehidupan yang baru pada tahun yang baru.

      Selepas bersiap sedia di rumah, sesetengah keluarga akan berkunjung ke rumah nenek dan datuk sebelah ayah. Di situlah, kanak-kanak akan mendapat angpau daripada saudara-mara. Pemberian angpau juga ada pantangnya. Hanya orang dewasa yang sudah kahwin boleh memberi angpau kepada golongan muda. Selepas berkunjung ke rumah nenek dan datuk, biasanya, akan diadakan pengunjungan ke rumah sahabat-handai.

     Hari kedua Raya Cina merupakan hari di mana ibu-ibu akan mengunjung ke rumah nenek dan datuk sebelah ibu. Di situ jugalah merupakan saat-saat yang dinanti-nantikan oleh kanak-kanak kerana dari situ mereka akan mnerima angpau dari mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik sebelah ibu.

      Sambutan Tahun Baru Cina akan berlangsung selama 15 hari dan diakhiri dengan sambutan perayaan “Chap Go Mei”.

      Begitulah serba sedikit coretan saya mengenai sambutan Tahun Baru Cina saya pada tahun ini.


Picture
Kemeriahan Sambutan Tahun Baru Cina di kalangan kaum cina...
                                                                                                            ~Charles Teo Ming Cong~
                                                                                                                       love peace fun




Leave a Reply.